PENDAHULUANPertama kalinya membaca hasil tulisan Buya Prof. Dr. Hamka yang merupakan seorang tokoh ulama dan sasterawan terulung di Nusantara.

Disebabkan banyak bahasa kiasan digunakan dan maksud yang mendalam membuatkan saya mengulangi dua hingga tiga kali rangkap pembacaan untuk memahami maksud intipati yang disampaikan beliau.

Tidak dinafikan, tulisan buya Hamka membuka minda saya melalui tulisannya yang menekankan dan menghubungkaitkan falsafah dengan agama dalam kehidupan.

Hamka menyatakan agama itu bukanlah falsafah, tetapi dengan mendalami ilmu falsafah akan dapat memahami agama.

Sesungguhnya sumbangan buya Hamka teramat besar dalam membina tali yang amat erat antara falsafah dan agama agar umat dapat memahami agama dengan akal dan iman. Moga Allah reda ke atasnya.

BAB 1: AKAL DAN NAFSU

Kata buya Hamka, “Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata.”

Setiap dari kita ditetapkan berbeza jalan kehidupan, kemampuan tubuh badan dan akal.

Semua makhluk di muka bumi seakan-akan tidak kelihatan di dalam tenunan tersebut kerana terlalu kecil.

Tenunan hayat yang kita nampak itu diumpamakan penghujung daripada permulaan kata yang lalu dan terus bersambung tanpa putus.

Begitulah kehidupan yang kita lalui, sejak dari awal tidak diketahui bilakah bermulanya sampailah kepada akhir yang juga belum diketahui saatnya.

Satu-satunya yang membezakan antara manusia dengan haiwan di muka bumi ini adalah pemberian akal Allah s.w.t. Akal itulah yang menjaga manusia melalui pemikiran yang waras lalu mempengaruhi tindakan yang baik.

Walaupun begitu, nafsu turut diberikan Allah kepada manusia, sebagai lawan kepada kewarasan akal.

Manusia tidak lari daripada melakukan kesilapan dan kegagalan jika kalah dengan kehendak nafsu.

Melalui akal itulah manusia boleh melawan nafsu dengan berfikir dan mengimbang baik buruk sesuatu perkara sebelum membuat keputusan serta tindakan.

Disebabkan itu, orang yang berakal adalah orang yang luas pandangannya terhadap akibat sesuatu perkara dan bijak memilih jalan yang lebih kukuh serta bermanfaat.

Orang berakal berbeza dengan orang yang sentiasa tunduk dengan nafsu kerana mereka akan sentiasa menaksir harga diri iaitu menilik hari-hari yang dilalui, samaada hari-hari tersebut dimanfaatkan sepenuhnya dengan kebaikan ataupun hanya pekerjaan yang sia-sia.

Selain itu, orang berakal juga sering berbantah dengan dirinya jika kehendak hati ingin menurutkan kata nafsu yang mahu melakukan kejahatan.

Orang berakal juga sering mengingati kekurangan diri dan memandang kebaikan budi pekerti orang lain, bijak dalam memilih teman dan sahabat, tidak bersedih dengan kegagalan mengejar cita-cita dunia serta tidak akan menjauhi orang yang berakal juga.

BAB 2: AKAL DAN ILMU

Dalam bab dua pula, buya Hamka mengaitkan hubungan akal dengan ilmu. Beliau menyatakan manusia tidak akan dapat mencapai ilmu tanpa akal.

Agama islam itu sendiri mendahulukan akal sebelum ilmu.

Disebabkan itu, Islam melarang keras umatnya meminum minuman yang memabukkan kerana ketika mabuk, kewarasan akal fikiran akan hilang padahal akal itu kelebihan yang Allah kurniakan untuk membezakan antara manusia dengan haiwan.

Buya Hamka turut menyatakan bukti keutamaan akal dengan ayat-ayat yang terkandung dalam Al-Quran dan Hadis sebagai pengukuh.

Selepas keutamaan akal, barulah di angkat martabat ilmu kerana ilmu itu merupakan anak kunci rahsia alam, rahsia makhluk dan makhluk itu anak kunci dalam mencari Khalik.

Kata buya Hamka, “Adakah akan sama orang yang berpengetahuan dengan orang yang tiada pengetahuan?”

Melalui ilmu itulah manusia bebas daripada kejahilan hidup.

Akan tetapi, ilmu yang mengikut arus nafsu dan disalah guna sehingga menimbulkan perpecahan umat manusia itu bukanlah dari akal budi yang waras.

Kerana itu, ilmu perlulah difahami dan dipelajari maksudnya bukan hanya menghafal dan menyebarkan ilmu kepada orang ramai begitu sahaja.

Buya Hamka turut menegaskan tujuan akal yang paling mulia adalah tujuan akal yang sejati manakala tujuan kita di dalam hidup ini ialah makrifat Allah s.w.t.

Pusat daripada makrifat Allah s.w.t bermula dari dalam iaitu rasa kehambaan yang terbit dalam diri sendiri.

Kata buya Hamka: “Akal itu terbahagi kepada tiga bahagian, sebahagian untuk mengenal Allah, sebahagian untuk taat kepada Allah dan sebahagian lagi untuk sabar daripada maksiat akan Allah.”

Musuh kepada akal pula adalah hawa nafsu. Kedua-duanya merupakan kekuatan yang sentiasa berperang dalam diri kita.

Jika akal sering menyatakan akan kebaikan sebaliknya pula bagi hawa nafsu yang sentiasa membawa kepada keburukan.

Hal ini kerana, akal dibantu hidayah Allah manakala nafsu didorong syaitan. Jelaslah, orang yang sentiasa menuruti hawa akan sesat dan ingkar.

Kata buya Hamka, “Buta hati lantaran jahil, lebih berbahaya daripada buta mata”.

Kejahilan terbahagi kepada dua iaitu jahil basith dan jahil murakkab. Jahil basith disebabkan kekurangan ilmu dan pengalaman tetapi bila sedar akan cepat berubah.

Manakala jahil murakkab adalah disebabkan kesombongan dalam diri seseorang dan terbahagi kepada empat tahap iaitu tiada pendirian, berpendirian salah dan tahu akan kesalahannya, pendirian yang salah tetapi tidak tahu akan kesalahannya serta pendirian yang salah dan sedar akan kesalahannya tetapi tidak mahu meninggalkannya.

Untuk melawan kejahilan, ilmu pengetahuan perlulah menjadi amal dalam kehidupan beserta dengan iman agar kebahagiaan itu dapat dicapai.

BAB 3: KEUTAMAAN BUDI

Sunnatullah atau undang-undang alam merupakan peraturan yang teguh dan lebih dahulu dari segala agama. Sunnatullah itu datang secara langsung dari Tuhan.

Wujudnya undang-undang itu Tuhan untuk manusia memelihara kehidupan mereka di dunia ini. Dengan menyelidik rahsia Sunnatullah, pelbagai ilmu pengetahuan dapat dipelajari dan melalui ilmu pengetahuan tersebutlah manusia dapat melopori dunia sebaiknya.

Kata buya Hamka, “Keutamaan ialah suatu kesenian, di dalam mencapai kebahagiaan diri sendiri, dengan jalan membahagiakan orang lain.”

Keutamaan terbentuk setelah individu tersebut menempuh perjuangan batin.

Ini bermaksud, manusia perlu berperang antara akal yang waras dengan hawa nafsu sebelum menetapkan keputusan yang perlu diutamakan.

Jika pilihan akal menjadi keutamaan maka kebaikanlah yang bakal dilakukan begitu juga sebaliknya jika nafsu yang menjadi keutamaan pasti akan mendatangkan mudarat.

Iffah dan Syaja’ah merupakan dua perangai utama terhadap diri sendiri.

Iffah merujuk kepada kesanggupan menahan diri daripada kepuasan yang membawa keburukan manakala Syaja’ah bermakna membangkitkan keberanian untuk menempuh satu kesakitan yang perlu buat maslahat kehidupan.

Sifat diri terhadap masyarakat pula ialah adil dan hikmah yang tergolong dalam satu makna iaitu mahabbah. Mahabbah atau cinta sesama manusia bakal membawa hikmat iaitu menuntun diri kepada kebenaran melalui keadilan.

Budi pekerti yang mulia tidak akan lahir jika bukan dari sifat keutamaan manusia.

Agama islam menggariskan batas syariat dalam kehidupan untuk membentuk manusia yang berakhlak mulia dengan mengerjakan kebaikan dan meninggalkan segala keburukan serta kejahatan.

BAB 4: ADAB KESOPANAN

Dalam bab empat pula, buya Hamka mengupas soal kesopanan dalam kehidupan manusia. Adab terbahagi kepada dua bahagian iaitu kesopanan pergaulan dan kesopanan batin.

Adab batin inilah yang perlu dijaga kerana jika dalaman kita bersih dari sebarang penyakit hati seperti dengki dan dendam, maka akan memudahkan kita menyesuaikan diri dengan persekitaran yang baru dan menjalinkan silaturahim. Adab batin terbahagi pula kepada dua iaitu adab sesama makhluk dan adab kepada Khalik.

Adab diri terhadap makhluk pula terdapat tiga jenis sifat asli iaitu kecenderungan, marah dan mementingkan diri.

Terciptanya akal yang dikurniakan Allah adalah untuk menilai dan menghakimi perjalanan ketiga-tiga sifat asli tersebut agar dapat membezakan yang baik dengan buruk.

Islam sendiri menetapkan beberapa contoh kesopanan yang perlu diamalkan umatnya seperti memelihara mata dan perhiasan, jangan merosakkan perhubungan, menghormati ibu bapa, dan mengucapkan salam.

Manakala kesopanan terhadap Rasulullah s.a.w pula adalah menghormati baginda sebagai pemimpin islam.

Kita hendaklah tunduk dan patuh pada segala perintah rasulullah s.a.w kerana baginda merupakan rasul yang diutus bersama wahyu Allah untuk memimpin manusia.

Setiap ajaran yang disampaikan rasulullah s.a.w adalah perintah dari Allah dan wajib dilaksanakan.

Akhir sekali adalah kesopanan terhadap Tuhan.

Sesungguhnya Allah itu pencipta langit dan bumi serta keseluruhan isi alam, itu kita sebagai hambaNya mestilah ikhlas dalam mengerjakan amal ibadat kerana Allah. Bukanlah bersikap munafik yang melakukan amal ibadat kerana riak dan  pujian dari manusia.

Ada tiga perkara yang mesti kita sematkan dalam diri iaitu syukur (berterima kasih), tawakkal (berusaha keras kemudian meletakkan keputusan buruk baik kepada Allah), dan tafakkur (memandang kebesaran Allah dan kelemahan diri). Dengan itu barulah terbit rasa kehambaan dan keinsafan dalam diri kita.

BAB 5: KESEDERHANAAN KEHIDUPAN

Orang yang sederhana adalah orang yang tidak terlalu condong dan tidak terlalu rebah.

Ini bermaksud, seseorang itu tetap bersederhana dalam segala perkara termasuklah perkara yang dibolehkan dalam agama.

Walau bagaimanapun, perkara yang paling penting adalah niat dan tujuan dalam setiap perlakuan kita.

Untuk mencapai kepada kesederhanaan tujuan tersebut, perlulah bermula dari kesederhanaan dalam berfikir.

Apabila seseorang menggunakan akal untuk berfikir dengan bijak, akan mendorong kepada cita-cita yang mulia dan tawakkal yang merupakan tonggak kepercayaan kepada Allah dan iman.

Setelah kita bercita-cita, perlulah kita berusaha keras untuk mencapai apa yang diimpikan tanpa putus asa.

Bersederhana dalam melahirkan perasaan turut mencerminkan peribadi seseorang.

Berterus terang dengan apa yang membuku, itulah sifat sederhana biarpun bakal ditolak orang ramai asalkan kita berdiri pada kebenaran, kerana akhir nanti mereka pasti menerima kenyataan tersebut.

Bukan sekadar bersederhana dalam tutur bicara, tetapi kita juga disarankan bersederhana dalam sukacita, harta benda, mengejar nama dan pangkat.

Didikan kesederhanaan itu bermula dari zaman kanak-kanak kedua orang tuanya.

Kejayaan atau kegagalan hidup yang bakal dilalui anak-anak sejak kecil sampailah ke tua semuanya ditentukan pada waktu membentuk dan melatih mereka sejak kecil.

Pada waktu lampaulah ditentukan zaman datang yang merupakan impian setiap diri kita.

BAB 6: KEBERANIAN BUDI

Ketika berlaku suatu situasi kecemasan, maka akan muncul dua golongan iaitu golongan berani dan golongan pengecut. Keberanian terbahagi kepada dua bahagian iaitu keberanian semangat dan keberanian hati.

Keberanian budi pula ialah berani menyatakan suatu perkara yang diyakini sendiri kebenarannya, walaupun akan dibenci orang.

Begitulah dalam syarak agama islam, amal bil maruf, nahyi anil munkar iaitu mengajak kepada kebaikan dan meninggalkan kejahatan.

Manakala orang pengecut pula adalah orang yang tidak mempunyai keyakinan kerana takut akan kritikan daripada orang ramai.

Melalui keberanian inilah manusia mampu berdiri di medan perang untuk berjuang menuntut kemerdekaan dan menentang kuasa penjajah.

Kata buya Hamka, “Kemuliaan ialah kebanggaan jiwa, tujuan perasaan dan pemandangan.”

Ini bermaksud sesorang yang mempunyai jiwa bersih, mampu menentang kehendak hawa nafsu dan berbudi pekerti yang baik. Kemuliaan terbahagi kepada dua iaitu kemuliaan hidup (kemuliaan budi dalam pergaulan) dan kemuliaan jasa.

Kata buya Hamka, “Akal menyuruh mengerjakan mana yang manfaat, dan muruah menyuruh mengerjakan yang lebih bagus.”
Muruah ialah kesanggupan menahan diri dari mendekati perkara yang diharamkan dan berdosa.

Dalam erti kata lain, muruah ialah takut akan kebesaran Allah dengan meninggalkan segala laranganNya dan menjaga hubungan baik sesama manusia iaitu memberi kemaafan walaupun berpeluang untuk membalas dendam.

Muruah turut berkait degan cita-cita.

Menurut buya Hamka, seseorang yang bercita-cita dan punya harga diri tidak akan melakukan pekerjaan yang hina dan sia-sia. Untuk mencapai cita-cita tersebut, seseorang perlulah percaya kepada diri sendiri.

BAB 7: KEADILAN DAN KEBEBASAN

Menurut buya Hamka, keadilan mengandungi tiga perkara iaitu persamaan, kemerdekaan dan hak milik. Persamaan merujuk kepada hak segenap manusia dimana memerlukan keperluan hidup yang sama.

Kemerdekaan pula ialah kebebasan manusia menurut fitrah dan tidak akan sempurna jika kemerdekaan tersebut dibataskan.

Hak milik pula merupakan undang-undang yang mengakui akan hak milik seseorang atas hartanya sendiri.

Keadilan itu bersifat amat luas dan banyak keutamaan lain yang bergantung padanya.

Falsafah nasrani mengajarkan erti keadilan dengan melarang seseorang itu melakukan sesuatu terhadap orang lain dimana kita pasti tidak suka jika diperlakukan sebegitu juga.

Dengan keadilan inilah nasib manusia akan terbela dan hidup dengan saling menghormati.

Kebebasan ijtihad iaitu kebebasan menyatakan fikiran memberi banyak manfaat dalam kemajuan masyarakat.

Akan tetapi, buah fikiran itu janganlah berbaur negatif sehingga memecah-belah masyarakat dan mengganggu kemerdekaan orang lain.

Disebabkan kemajuan manusia dalam berfikir, setiap rakyat dalam sesebuah negara diberi kebebasan untuk menganuti agama yang dipercayainya. Hal ini kerana, agama merupakan hak asasi manusia serta sebagai tiang demokrasi dan dasar dalam soal hukum keadilan.

BAB 8: PERSAHABATAN DAN PEREMPUAN

Persahabatan terjalin atas dasar fitrahnya manusia yang memerlukan teman untuk berkongsi saat susah dan senang. Dalam hubungan persahabatan hendaklah tidak ada yang bersikap mementingkan diri sendiri dan perlu saling bantu-membantu.

Antara kunci kepada persahabatan yang kukuh adalah saling menghormati, menjaga rahsia sahabat, dan saling bersabar.

Persahabatan itu hampir sama dengan perkahwinan cuma berbeza kerana perkahwinan itu melibatkan wanita dengan lelaki iaitu perkahwinan badan dan roh manakala persahabatan adalah perkahwinan roh dan fikiran.

Jelaslah, persahabatan antara lelaki berbeza nilainya dengan percintaan antara lelaki dan perempuan kerana cinta adalah dalam lingkungan batin dan persahabatan dalam lingkungan zahir.

Dua perkara tersebut sangatlah kontra disebabkan lelaki hanya inginkan sahabat iaitu teman sebagai berkongsi pendapat, pertimbangan akal fikiran dan perjuangan tanpa dicampur sedikitpun perempuan serta cinta.

Sebaliknya pula bagi wanita yang inginkan perhatian si suami tertumpu padanya seorang. Akan tetapi, perempuan dilarang keras untuk memusuhi dan membenci para sahabat suami.

BAB 9: ISLAM MEMBENTUK PANDANGAN HIDUP

Kata buya Hamka, “Agama islam pembentuk pandangan hidup.”

Allah s.w.t menetapkan syariat dalam kehidupan manusia agar dapat hidup dengan sejahtera.

Kita perlulah mendidik hati untuk tunduk dan patuh dengan perintahNya kerana tidak ada satu pun daripada perintah tersebut yang memudaratkan kita.

Kita diperintah untuk mengerjakan sembahyang dengan mendidik hati tunduk terhadap kebesaran Allah s.w.t, mengerjakan zakat untuk mensucikan hati dari sifat kebakhilan serta berkongsi pendapatan bersama si fakir, diperintahkan pula kita untuk berpuasa agar kita mampu menundukkan hawa nafsu dan mewujudkan ketaqwaan hati, dan disuruh mengerjakan haji bagi yang berkemampuan.

Yang terakhir sekali, kita disuruh menyempurnakan seluruh ibadat dengan jihad.

Jihad adalah perjuangan mencapai keredhaan Allah s.w.t dengan rasa cinta yang tinggi dan melalui pengorbanan terhadap hawa nafsu serta nikmat kemaksiatan.

KESIMPULAN

Kehidupan bermula dari alam rahim, dimana dua benih menjadi satu lalu membentuk seketul daging menjadi manusia.

Kemudian dilahirkan dan bermula pula sebuah perjalanan kehidupan di muka bumi serta perakhirannya adalah kematian.

Sempurnanya ciptaan manusia dengan dianugerahkan Allah s.w.t satu akal yang digunakan untuk berfikir bagi menjamin kesejahteraan manusia.

Diangkat pula martabat ilmu dengan menyeru manusia agar mengkaji dan menyelidik rahsia alam untuk mengetahui pelbagai ilmu pengetahuan.

Dengan ilmu itulah manusia terus maju dan lahirnya para bijak pandai.

Diajarkan pula manusia konsep Tauhid yang mengakui Tuhan hanya Satu dan islam memulangkan kekuasaan kepadaNya.

Diutuskan pesuruh Allah untuk menyeru dan menyampaikan wahyu kepada umat manusia iaitu agama Islam.

Manusia disuruh melakukan amal ibadat dan kebaikan di muka bumi.

Menggunakan akal untuk berfikir dan menempuh kehidupan dengan terus berjuang melawan kejahatan hawa nafsu.
Inilah yang dikatakan Falsafah Hidup. – 12 September, 2014
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

The Malaysian Insider

Advertisements